AZAN SEBAGAI LAMBANG SYIAR ISLAM
Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam
untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardhu dan menyeru orang-orang Islam
supaya berkumpul untuk mengerjakannya.
Azan dari segi bahasa ialah “al-i`lam” (pemberitahuan)
atau “an-nida’” (seruan). Ini dapat dilihat di dalam al-Qur’an
sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Pemberitahuan daripada Allah dan RasulNya kepada
sekalian manusia.”
(Surah at-Taubah: 3)
Begitu juga firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan
ibadah haji…”
(Surah al-Haj: 27)
Dari segi syara` pula, azan ialah suatu gabungan
perkataan tertentu untuk mengetahui waktu sembahyang fardhu atau boleh
diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu sembahyang dengan lafaz-lafaz
tertentu.
Azan
disunatkan ketika hendak mendirikan sembahyang sama ada sembahyang tunai atau
qadha’. Hukum azan adalah sunat mu’akkadah `ala al-kifayah bagi sesuatu
kumpulan. Ini bermakna tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan
oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan sunat
`aini atau dengan kata lain pahala sunat diperolehi apabila seseorang itu
melakukannya.
Al-Qur’an, as-Sunnah dan al-Ijma` menyatakan
bahawa azan adalah suatu syariat di dalam Islam. Ini adalah kerana ia mempunyai
banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dalil daripada al-Qur’an ialah firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Jika
kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...”
(Surah
al-Ma’idah: 58)
Dalil
daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadith. Antaranya ialah sebuah hadith
yang bermaksud:
“Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah
seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi
imam.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari segi sejarahnya, azan mula disyariatkan pada tahun
pertama Hijrah. Hal ini telah terkandung di dalam sebuah hadith yang telah
diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar r.a. Pada mulanya
ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu
untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru
(melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w. telah
mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu
masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat
jemaah. Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan.
Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera
sebagai tanda waktu solat. Apabila bendera telah berkibar, orang yang
melihatnya hendaklah memberitahunya kepada orang ramai. Ada juga yang
mencadangkan supaya ditiup trompet seperti yang biasa dilakukan oleh penganut
agama Yahudi. Ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng seperti yang
dilakukan oleh orang-orang Nasrani. Terdapat juga usul supaya dinyalakan api di
atas bukit. Orang yang melihat api tersebut hendaklah datang menghadiri solat
berjemaah.
Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Nabi
s.a.w. Kemudian, Umar bin al-Khattab mencadangkan agar diteriakkan ucapan: “Telah
datang waktu solat”. Usul beliau ini telah diterima oleh Nabi s.a.w. tetapi
Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang bererti
“marilah solat berjemaah”.
Sementara itu, pada suatu malam Abdullah bin Zaid
telah bermimpi tentang seorang lelaki yang datang kepadanya dengan membawa
loceng. Abdullah memohon agar loceng itu dijual kepadanya. Pembawa loceng
bertanya: “Untuk apakah tuan gunakan loceng ini?”. Abdullah menjawab: “Kami
akan memukulnya untuk memberitahu telah masuknya waktu solat kepada orang ramai”.
Apabila mendengar jawapan tersebut, pembawa loceng itu berkata: “Mahukah
tuan saya tunjukkan cara yang lebih baik untuk memberitahu solat?”.
Abdullah menjawab: “Itu baik sekali”. Lalu pembawa loceng itu berkata: “Kumandangkanlah
Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya,
Abdullah bin Zaid menemui Nabi s.a.w. bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang
benar”. Nabi s.a.w. memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan
tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar pula datang kepada Nabi
s.a.w. dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti yang dialami oleh
Abdullah bin Zaid.
Di sini jelas menunjukkan bahawa lafaz-lafaz azan
yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. mempunyai persamaan dengan lafaz-lafaz azan
yang didengar oleh Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab dalam mimpi
masing-masing. Namun begitu, mimpi-mimpi tersebut bukanlah menjadi dasar
pensyariatan azan kerana secara kebetulan lafaz-lafaz azan yang diajarkan oleh
Nabi s.a.w. mempunyai persamaan dengan mimpi kedua-dua orang sahabat tadi. Sandaran
azan bukan sahaja melalui mimpi bahkan ia diperkuatkan lagi dengan penerimaan
wahyu. Al-Bazzar meriwayatkan bahawa:
“Nabi s.a.w. pada malam isra’ telah
diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang
ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli
langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s., Allah s.w.t.
menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.
Menurut
pendapat jumhur ulama’, terdapat beberapa adab dan tertib dalam melaksanakan
azan. Antaranya ialah:
1.
mu’azzin hendaklah tidak menerima upah apabila melaksanakan tugasnya.
2.
mu’azzin harus suci daripada hadath kecil, hadath besar dan najis.
3.
mu’azzin hendaklah menghadap qiblat ketika mengumandangkan azan.
4.
ketika membaca “hayya `ala as-salah”, mu’azzin hendaklah
menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca “hayya
`ala al-falah” menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri.
5.
mu’azzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua telinganya.
6.
suara mu’azzin hendaklah nyaring.
7.
mu’azzin tidak boleh bercakap ketika mengumandangkan azan.
8.
orang-orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya secara perlahan-lahan
dengan lafaz yang diucapkan oleh mu’azzin, kecuali pada lafaz “hayya `ala
as-salah” dan “hayya `ala al-falah”. Kedua-duanya disahut dengan “la
haula wala quwwata illa bi Allah” yang bermaksud “tiada daya dan kekuatan
kecuali daripada Allah”.
9.
setelah selesai azan, mu’azzin dan yang mendengar azan hendaklah berdoa: “Allahumma
rabba hazihi ad-da`wah at-tammah wa as-salati al-qa’imah, ati Muhammadan
al-wasilah wa al-fadhilah wab`athhu maqaman mahmudan allzi wa`adtah” yang
bermaksud “wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan
solat yang sedang didirikan, berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan
keutamaan serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya”
(Riwayat Bukhari).
Selain itu, melakukan azan mempunyai beberapa
kelebihan dan mendapat pahala yang besar. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad
s.a.w. yang bermaksud:
“Kalaulah orang ramai mengetahui pahala yang ada
dalam azan dan pahala dalam barisan pertama sembahyang, kemudian mereka tidak
ada jalan selain membuat undian untuk mendapatnya, nescaya mereka akan masuk
undian itu.”
(Riwayat Muttafaq `Alayh)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:
“Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu
atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang. Hendaklah engkau
angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak
didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya
pada Hari Akhirat.”
(Riwayat Bukhari)
Dalam sebuah hadith yang lain ada disebut:
“Tukang azan adalah orang yang paling panjang
leher di Hari Akhirat.”
(Riwayat Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah)
Menurut pendapat yang sahih daripada ulama’
Syafi`i dan Hanbali, azan beserta iqamah adalah lebih baik daripada menjadi
Imam. Ini disebabkan Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Siapakah yang lebih bagus perkataannya daripada
orang yang berdoa kepada Allah dan beramal salih.”
(Surah Fussilat: 33)
`A’isyah berkata: “Mereka yang dimaksudkan oleh ayat
tersebut ialah tukang azan”. Di dalam hadith lain ada juga menyebut:
“Imam adalah bertanggungjawab (damin), tukang azan
adalah orang yang dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada
imiam-imam dan ampunilah tukang azan”.
(Riwayat Syafi`i, Ahmad, Abu Dawud,Tirmizi,
An-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)
Amanah lebih tinggi daripada daman dan
keampunan adalah lebih tinggi daripada petunjuk. Nabi Muhammad s.a.w. dan para
khalifah tidak melakukan tugas azan ini kerana mereka tidak mempunyai banyak
masa. Menurut pendapat ulama’ Hanafi, iqamah dan menjadi imam adalah lebih baik
daripada azan kerana Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifahnya menjalankan
tugas imam, tetapi mereka tidak menjalankan tugas menjadi tukang azan.
SUMBER RUJUKAN:
- Al-Qur’an Al-Karim dan terjemahannya.
- Al-Fiqh al-Manhaji Kitab Fiqh Mazhab Syafie, Jilid 1, Terbitan Pustaka Salam Sdn. Bhd., Karangan Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & Ali asy-Syarbaji.
- Ensiklopedia Islam, Jilid 1, Cetakan Pertama 2004, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Susunan Drs. H.A. Hafizah Dasuki dll.
- Ensiklopedia Islam Untuk Pelajar, Jilid 1, Cetakan Pertama 2003, Terbitan Era Visi Publication Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, Susunan Shafie Abdul Rahman dll.
- Fiqh & Perundangan Islam, Jilid 1, Cetakan Ketiga 1997, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Karangan Dr. Wahbah al-Zuhaili, Terjemahan Syed Ahmad Syed Hussain dll.
tahniah.blog cikgu padat dengan informasi..jom solat
ReplyDelete